Beberapa jalan ditutup pada hari penamaan calon - Nizar Bravo !!!
GEORGETOWN: Beberapa jalan akan ditutup kepada semua jenis kenderaan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Isnin ini mulai jam 6 pagi hingga 3 petang.
Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, DSP Wari Kiew, berkata ini bagi melancarkan proses penamaan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, dekat sini.
"Jalan yang ditutup adalah Jalan Berapit di hadapan perkuburan cina Berapit dan simpang tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kenderaan yang datang dari arah pekan Bukit Mertajam atau Bandar Perda akan dilencong ke Jalan Abdul Kadir atau Jalan Tok Elong ke Jalan Tanah Liat, Kubang Semang dan Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).
"Kenderaan dari arah Kulim atau BKE pula akan dilencongkan di simpang tiga Jalan Mengkuang/Jalan Berapit ke Jalan Mengkuang arah ke Kulim bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan IKBN itu," katanya.
Wari berkata, tiga kawasan khas disediakan berhampiran IKBN untuk meletak kenderaan yang jaraknya antara 600 meter dan 1.4 kilometer dari pusat penamaan calon.
Katanya, penduduk di kampung yang terletak berhadapan dengan IKBN boleh mendapatkan bantuan pihak polis untuk keluar dan masuk di kawasan itu, bagaimanapun mereka dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal pada hari berkenaan.
Katanya, anggota polis trafik akan ditempatkan di beberapa kawasan di situ bagi mengawal lalulintas dan beberapa buah lori penunda disediakan untuk mengalih kenderaan yang menghalang lalu lintas.
"Mana-mana kenderaan yang didapati meletak sesuka hati atau menghalang lalulintas akan ditarik dan dibawa ke bilik gerakan Trafik Bukit Mertajam," katanya.
Selain itu, katanya penyokong-penyokong parti dinasihatkan datang melalui laluan masing-masing yang telah dipersetujui semasa perjumpaan dengan wakil calon semalam.
"Polis tidak akan membenarkan penyokong-penyokong parti masuk melalui laluan yang ditetapkan kepada parti lain atas faktor keselamatan," katanya. - Bernama
Currently have No Comment