BN akan pastikan kemenangan, tidak kira undi atau moral - Nizar Bravo!!!
BEBERAPA pekerja Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, memasang kain rentang Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) semalam. Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan diadakan hari ini. Setakat ini, calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dan calon PAS Mohd Salleh Man akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu pada 25 Ogos 2009. - Foto Bernama
BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) akan memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini, tanpa mengira sama ada ia adalah kemenangan undi atau moral.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Othman, berkata jentera BN perlu bersatu padu bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.
"Kita kena buktikan pada orang luar bahawa Umno dapat meletakkan calonnya di tempat yang paling baik pada pilihan raya ini," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh di sini, hari ini.
Beliau berkata Umno Permatang Pauh perlu memastikan kemenangan pilihan raya kecil itu milik mereka bagi menangkis pandangan serong orang luar terhadap mereka.
"Kita boleh buktikan pada orang bahawa kita boleh bersatu, bangun dan bangkit dari lemparan dan tohmahan yang dilemparkan kepada kita," katanya.
Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, Rohaizat Othman yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dan seorang calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 25 Ogos.
BHARIAN
Currently have No Comment