Ketua cawangan tak puas hati pemilihan Rohaizat? | Nizar Bravo!!!

Wednesday, August 19, 2009, Posted by Biaqpila at 12:00 PM



Selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Rohaizat Othman sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir Jumaat lalu, kira-kira 65 peratus ketua Umno cawangan serta ketua Pemuda cawangan di DUN tersebut dikatakan berkumpul di sebuah kedai makan, kerana tidak puas hati dengan pemilihan Rohaizat.

Menurut satu sumber, ini kerana mereka mengharapkan ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said - yang mesra dipanggil "cikgu" - akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Kata sumber yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut, Mohd Zaidi terpaksa mententeramkan mereka yang tidak berpuas hati dan menasihatkan mereka supaya bertenang.

"Bekas guru itu turut berkata kepada mereka bahawa beliau masih lagi berpeluang untuk menjadi calon pada masa akan datang," kata sumber itu lagi.

Sehubungan itu, kata sumber itu, Mohd Zaidi menasihatkan penyokongnya agar tidak mementingkan diri sendiri tetapi perlu menjaga kepentingan parti.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, sekiranya Mohd Zaidi menjadi calon, beliau dijangka mendapat menarik kembali sokongan pengundi Cina seramai kira-kira 5,400 orang di Permatang Pasir serta pengundi atas pagar.

Katanya, dalam pilihan raya umum lalu, dianggarkan sebahagian besar pengundi Cina itu menyokong calon, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman untuk membolehkannya menang majoriti lebih 5,000 undi.

DUN berkenaan mempunyai 20,290 pengundi dan satu undi pos, dengan 72.36 peratus pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain.

Umno pula mempunyai 24 cawangan di Permatang Pasir.

Sumber itu berkata, Mohd Zaidi disenangi pelbagai pihak termasuk dari kalangan pengundi bukan Melayu kerana beliau bekas guru manakala bapanya pula memang rapat dengan pengundi Cina di situ.

Menurut sumber itu lagi, ketua-ketua cawanga dan ketua Pemuda cawangan berkenaan percaya BN mempunyai peluang untuk memenangi kerusi tersebut sekiranya mendapat sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina.

"Kerana itulah mereka mengharapkan Cikgu Mohd Zaidi (kanan) yang dipilih sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pauh kali ini," katanya.

Malah, katanya, apabila Muhyiddin mengumumkan nama Rohaizat terdapat penyokong BN dari kalangan kaum Cina yang kelihatan terkejut kerana mereka juga menyangka Mohd Zaidi yang akan dipilih.

"Ada yang bertanya-tanya‘apa sudah jadi'...," katanya lagi.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya peluang Rohaizat dalam pilihanraya kecil itu pada 25 Ogos depan.

Bagaimanapun, katanya, kelmarin, Mohd Zaidi telah menemui ketua bahagian Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid bahawa beliau akan menyokong Rohaizat sebagai calon BN di situ.

http://www.malaysiakini.com/news/110789

Currently have 1 Comment

  1. Ini strategi Umno untuk membuahkan perasaan over-confident pada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang PAS akan menang mudah, so puak-puak ketua-ketua PAS pun mengeluarkan kenyataan2 over-confident, seperti ustaz fatah dsbnya masa manik urai dulu. Jangan termakan dengan mainan ini. Cukup dengan mengatakan yang peluang PAS agak sulit juga, dan kemenangan dengan satu undi pun sudah memadai kerana Pakatan Rakyat bukan berdepan dengan Parti Umno, tapi satu kerajaan yang menyalahgunakan segala kemudahan awam dan rakyat untuk kemenangan mereka. Belum bermula kempen pilihanraya, program menangkap dan intimidasi penyokong anti Umno telah pun dimulakan. Hidup Pakatan Rakyat !!!

Leave a Reply

IKLAN BANNER 505X90 px CUMA RM50 SEBULAN
SILA EMAIL KE dirzoom (at) yahoo.com