PRK 11 PERMATANG PASIR

Tuesday, August 4, 2009, Posted by Biaqpila at 2:13 PM

Takziah buat keluarga Hamdan dan penduduk Dun Permatang Pasir

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUN Permatang Pasir, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman ke rahmatullah pada pagi ini.


Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga adalah merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam pimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Wakil rakyat sejak 1999

Berkat komitmen berterusan ini, Allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi.

Allahyarham Dato' Hamdan adalah seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik.

Dalam Majlis Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada minggu sudah, beliau telah dianugerah pingat Darjah Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato'.

Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah.

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
31 Julai 2009

Currently have No Comment

Leave a Reply

IKLAN BANNER 505X90 px CUMA RM50 SEBULAN
SILA EMAIL KE dirzoom (at) yahoo.com